Isu tular jejas fokus Hijau Kuning

MEDIA sosial menjadi salah satu punca kem Hijau Kuning terus hangat dengan beberapa isu yang tular, antaranya gesaan Presiden Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah melepaskan jawatan dan tuduhan pemain menerima rasuah.

Ketua pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari berkata, beliau mengakui dua isu tersebut menganggu fokus dan persiapan pasukan tersebut bagi menghadapi kempen Liga Malaysia musim 2018.

Menurutnya, perkara itu menjejaskan keharmonian dalam kalangan pemain dan menyebabkan wujud sikap prejudis yang sememangnya tidak baik sebagai sebuah pasukan.

“Kami sudah bersama lama sebagai sebuah pasukan dan tidak ragu di antara satu sama lain. Tentang isu rasuh ini cuma yang jadi panas sebab di Facebook ada pihak yang sentiasa nak kacau pasukan kita.

“Dari segi moral kita kecewa dengan kekalahan kepada JDT pada final Piala Malaysia namun kita tidak boleh layan sangat dan perlu bangkit pada tahun hadapan untuk beri tentangan lebih hebat,” katanya kepada pada satu sidang media semalam.

Beliau berkata, pihaknya berharap orang ramai tidak membuat tanggapan salah kerana dakwaan rasuah itu masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu katanya, KFA masih memerlukan kepimpinan Ahmad Bashah dan membantah keras cadangan desakan beliau untuk melepaskan jawatan.

Menurutnya, sepanjang dua musim memimpin KFA, presiden itu telah menjalankan tugas secara profesional dengan memberi sepenuh kepercayaan kepada pengurus dan jurulatih sehingga Kedah muncul sebagai pasukan yang sangat dihormati.

“Beliau telah memainkan peranan memastikan segala kebajikan pemain terjaga, pembayaran gaji menepati masa, pemain berada dalam keadaan terbaik dan mengambil berat kebajikan ibarat seorang ayah terhadap anaknya,” katanya.

Perkara tersebut turut disokong oleh seorang lagi pemain senior Hijau Kuning, Baddrol Bakhtiar yang turut menyeru semua penyokong untuk kembali bersatu berada di belakang pasukan.

Menurutnya, beliau turut berharap pengendali laman-laman Facebook untuk bersama memikirkan tentang pasukan dan bukannya fokus kepada individu semata-mata.

“Komen negatif hanya mampu membuatkan Hijau Kuning jatuh dan kami menyeru semua agar bersama ke arah kebaikan.

“Kami sebagai pemain sebenarnya sudah lali dengan permainan ini dan mengambil ia sebagai catu cabaran,” katanya.

Mengulas mengenai logo pasukan Kedah yang dihina juga menerusi media sosial kelmarin, Baddrol menyifatkan perkara tersebut tidak lebih sekadar mahu meraih meraih populariti dengan lebih cepat selain mahu mempunyai pengikut yang ramai.

Comments

comments

Reply

error: Content is protected !!