TIGA tonggak utama pasukan berstatus kelab T-Team bakal memperkuatkan skuad Terengganu FC I (TFC I) selepas menerima tawaran pasukan utama dari Terengganu itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Tiga pemain itu melibatkan bekas pemain sayap MISC- MIFA, Muhammad Fauzi Abdul Kadar, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris (pertahanan tengah) dan Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri (pertahanan kanan).
Muhammad Fauzi atau lebih dikenali sebagai Mamu dalam kalangan penyokong skuad The Titans itu mengakui bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menyarung jersi TFC I selepas Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) melakukan penjenamaan semula pasukan bola sepak Terengganu Khamis lalu.
Menurutnya, peluang berada dalam skuad kendalian ketua jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan melakukan yang terbaik untuk pasukan jika diberi peluang beraksi.
“Saya tidak kisah sama ada beraksi mengira sebagai pemain utama atau pemain gentian dan apa yang lebih penting akan bekerja keras bagi memastikan lebih kerap diturunkan dalam setiap perlawanan.
“Malah fokus saya juga adalah untuk membantu Terengganu merealisasikan sasaran utama menjulang piala musim depan,” katanya.
Sementara itu, Wan Ahmad Amirzafran mengakui rela mengetepikan dua lagi tawaran diterimanya daripada pasukan jiran tetangga yang bermain dalam Liga Super dan di Liga Perdana musim depan untuk terus menabur bakti di negeri kelahirannya.
“Walaupun cabaran musim depan pastinya lebih getir , namun saya berjanji akan memberikan aksi terbaik dan segera menyesuaikan dengan diri lebih cepat bersama skuad baharu TFC I nanti.
“Jadi saya berharap corak permainan saya akan terus meningkat bersama TFC I sekaligus mampu merealisasikan sasaran pihak pengurusan memburu piala musim depan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Kamal Azizi turut meluahkan sudah bersedia untuk membawa cabaran baharu dengan TFC I selepas menimba pengalaman bersama T-Team.
“Saya berjanji memberikan aksi yang terbaik dan membalas kepercayaan diberikan pengendali pasukan, Irfan Bakti dalam memperkuatkan pasukan TFC I musim depan.
“Malah ketiadaan Firdaus Fauzi yang berpindah ke pasukan lain musim depan turut memberi peluang kepada saya untuk bersaing bagi mengisi posisi pertahanan kanan pasukan nanti,” katanya.
Reply