Wanita 79 tahun buta diperlakukan seperti anjing kurap oleh anak saudara.

Seorang wanita amat malang apabila beliau bukan sahaja tua dan buta malah didera oleh 2 orang yang dipercayai anak saudaranya yang telah mendera wanita tua tersebut.

Itulah nasib malang seorang wanita warga emas apabila menjadi mangsa dera dipercayai dilakukan oleh anak saudaranya di Taman Siakap.



Mangsa yang berusia 79 tahun dilihat oleh beberapa jirannya berada dalam keadaan bengkak di kepala, lebam tangan kanan dan luka bibir.

“Setiap kali menjelang malam, saya terdengar bunyi bising dan jeritan di belakang rumah,” kata seorang lelaki mahu dikenali sebagai Wan, 20-an yang juga jiran kepada wanita itu.

Menurut Wan, dia baru setahun berpindah dan memang pernah melihat warga emas yang juga cacat penglihatan itu berada di belakang rumah ketika siang hari.

“Hampir setiap hari kami sekeluarga akan mendengar bunyi bising wanita terbabit dimarahi ahli keluarganya di belakang rumah.

“Bunyi bising itu dipercayai kerana wanita berkenaan tidak mahu dimandikan terlebih dahulu sebelum dia dibenarkan masuk ke rumah berikutan membuang air kecil dan besar dalam pakaiannya,” katanya.

Menurutnya, selain itu dia juga pernah beberapa kali mendengar bunyi seperti dipukul, namun enggan mencampuri urusan jirannya.

“Saya tidak mahu masuk campur urusan orang lain kerana ahli keluarga terbabit juga kurang bergaul dengan orang sekeliling.

“Bagaimanapun, saya agak terkejut apabila mendapat tahu ahli keluarganya ditahan polis kerana mendera wanita berkenaan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Deva, 50-an berkata, dia pernah melihat wanita warga emas terbabit di belakang rumah dengan keadaan basah kuyup dari tingkat rumahnya.

“Wanita itu tinggal di kawasan sama, namun rumahnya disewa kepada orang lain dan kemudian diambil tinggal di situ oleh anak saudaranya.



“Mereka kurang bergaul dengan penduduk dan saya difahamkan ada jiran mengadu serta merakam video mangsa yang dibiarkan di belakang rumah terbabit sebelum diserahkan kepada wakil NGO,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, perbuatan suspek terbongkar selepas beberapa jiran membuat aduan kepada wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kemudian membuat tinjauan di rumah terbabit.

“Wakil NGO berkenaan kemudian melihat seorang wanita warga emas di bahagian belakang rumah dalam keadaan basah kuyup.

“Ketika ditanya, wanita terbabit mendakwa dia disimbah air oleh anak saudaranya dan disuruh duduk di belakang rumah,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa juga menceritakan yang dia kerap dipukul anak saudara, isteri dan anak mereka selain mendakwa diberi makan secara tidak menentu.



“Mangsa juga memberitahu dia tidak mempunyai saudara mara lain dan tinggal di rumah teres dua tingkat terbabit sejak tiga tahun lalu.

“Dia juga mendakwa kerap dipukul dengan penyapu, kasut serta pinggan mangkuk dan kerap dipaksa duduk di belakang rumah ketika semua penghuni keluar bekerja,” katanya.

Menurutnya, wakil NGO terbabit merakam video pengakuan mangsa dan mereka kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

“Susulan daripada itu, sepasukan polis ke lokasi kejadian dan menyelamatkan mangsa yang kemudian dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan.

“Susulan daripada itu, dua suspek yang berusia 54 dan 56 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berikutan dari laporan NSTP, Netizen mengutuk keras kedua dua individu yang telah dan sanggup melakukan penderaan tersebut terhadap orang tua buta yang langsung tidak mempunyai kudrat untuk melawan kedua dua individu yang jauh lebih muda darinya malah kedua dua individu tersebut adalah anak saudaranya sendiri.




Comments

comments

Reply

error: Content is protected !!